Prevalens Penderaan dan Pengabaian Warga Emas
Situasi global
Berdasarkan dapatan kajian sistematik dan meta-analysis daripada 52 kajian di 28 negara pada tahun 2017, dianggarkan bahawa 15.7% warga emas berumur 60 tahun ke atas telah mengalami satu atau beberapa jenis penderaan dan pengabaian.
| Jenis Penderaan | Anggaran Prevalens |
| Penderaan psikologi | 11.6% |
| Eksploitasi kewangan | 6.8% |
| Pengabaian | 4.2% |
| Penderaan fizikal | 2.6% |
| Penderaan seksual | 0.9% |
Kajian sistematik lain pula boleh menunjukkan julat yang yang besar mengenai kelaziman penderaan dan pengabaian warga emas iaitu 1.1% di Amerika Syarikat dan 44.6% di Sepanyol; manakala negara membangun pula mempamerkan anggaran yang lebih rendah (Sooryanarayana, Choo et al. 22 Julai 2013.
Situasi di Malaysia
Di Malaysia, tidak terdapat data yang lengkap mengenai kejadian penderaan atau pengabaian warga emas kerana kurang atau tiada pelaporan dilakukan.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) menunjukkan:
- 4.7% warga emas tidak pernah menerima langsung sebarang bantuan daripada anak-anak dari sudut kewangan, menemani urusan luar, melaksanakan urusan rumah, menyediakan makanan atau keperluan lain.
- 3.7% anak mempunyai hubungan yang buruk dan sangat buruk dengan bapa manakala 2.9% dengan ibu sendiri
- 9.0% warga emas hidup bersendirian dan 20.9 peratus hanya tinggal bersama dengan pasangan mereka.
Hasil penyelidikan Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative (PEACE) mendapati bahawa 1 daripada 10 warga emas yang tinggal di kawasan bandar dan 1 daripada 20 orang tua yang tinggal di kawasan luar bandar di Malaysia mengalami beberapa bentuk penderaan dan pengabaian warga emas dalam tempoh setahun yang lalu.
Manakala, kajian yang dijalankan di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan telah mengenal pasti kekerapan penderaan warga emas yang lebih rendah, pada kadar 4.5%, di kalangan warga emas yang tinggal di luar bandar.
Penyelidikan PEACE dalam kalangan warga emas di Malaysia juga mendapati pola kekerapan penderaan yang sama dengan penderaan kewangan dan psikologi merupakan dua jenis penderaan warga emas yang paling kerap berlaku (Sooryanarayana, Choo et al. 2015).
Hasil Kajian National Health & Morbidity Survey (NHMS) pada tahun 2018:
Kekerapan penderaan warga emas di Malaysia didapati berada pada kadar 9.0%
- 1 daripada 11 warga emas berisiko tinggi untuk didera oleh seseorang yang mereka percayai.
Jenis penderaan:
- Pengabaian: 7.5% (kekurangan makanan, pakaian, tempat tinggal, bantuan perubatan
- penderaan psikologi: 0.8%
- eksploitasi kewangan: 0.7%
Ciri demografi:
- Jantina: Lelaki 9.9% vs Perempuan 8.1%
- Kawasan: Luar bandar 10.7% vs Bandar 8.3%
- Paling tinggi mereka yang tidak berkerja (menganggur/ pesara/ suri rumah): 9.3%
- Paling rendah dalam kalangan mereka yang berpendidikan: 6.1%
- 1 jenis penderaan: 95.1% vs 2 atau lebih jenis penderaan (4.9%)
- Sebanyak 3 dalam 10 individu warga emas kekurangan sokongan sosial. Warga emas yang kurang mendapat bantuan sosial mengalami penderaan yang paling banyak/teruk.
Warga emas mengalami risiko untuk menjadi mangsa penderaan dan pengabaian, dalam kedua-dua keadaan sama ada:
- Kawasan bandar atau luar bandar
- Jantina lelaki atau perempuan
- Berkahwin atau bujang :
Pelaporan
28.5% mangsa tidak melaporkan penderaan kepada sesiapa.
- Alasan utama:
- tidak mahu melibatkan ahli keluarga mereka (56.7%)
- merasakan bahawa mereka didera atau diabaikan(24.8%).
Mangsa yang melaporkan penderaan:
- Majoriti kepada polis (64.7%)
- tiada kes dilaporkan kepada kakitangan kesihatan
Ini merupakan statistik yang agak mengejutkan memandangkan petugas kesihatan terutamanya di Jabatan Kecemasan merupakan barisan hadapan yang mampu mengenalpasti dan membuat intervensi terhadap kes berkaitan penderaan.
Tiada cara yang khusus untuk mengurangkan penderaan dan pengabaian warga emas. Begitu juga, tiada protokol khusus untuk melaporkan dan mengurus penderaan dan pengabaian warga tua.
Ini tidak seperti kes penderaan kanak-kanak dengan kewujudan Akta Penderaan Kanak-kanak 2001 dan sistem pelaporan dan pengurusan yang mantap telah pun disediakan (Pusat Pembangunan Kesihatan WHO 2006).
Penderaan dan pengabaian warga emas boleh memberi implikasi serius kepada kesihatan fizikal dan mental mereka. Ia membawa kepada peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan, tinggal di hospital lebih lama dan kematian pramatang.