Peranan yang boleh dimainkan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital
Perkhidmatan Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital adalah bertujuan bagi membantu mengembalikan dan meningkatkan kefungsian sosial pesakit sesuai dengan batas keupayaan dan masalah mereka.
Ini termasuklah bagi kes-kes penderaan.
Skop Jabatan Kerja Sosial Perubatan turut meliputi bantuan psikososial kepada pesakit dan/atau waris.
Bantuan psikososial ini melibatkan penilaian biopsikososial yang perlu dijalankan ke atas pesakit dan/atau waris oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) sebelum intervensi terapi sokongan dan bantuan praktik diberikan.Â
PKSP akan melaksanakan penilaian biopsikososial bagi:
| Mengenal pasti masalah yang dihadapi mangsa | Menentukan kesesuaian dan keperluan bantuan kepada mangsa |
| Membuat lawatan ke tempat tinggal sekiranya perlu | Bertindak membantu mengikut keperluan setiap kes |
Antara terapi sokongan adalah dalam menolong klien memahami penyakit dan masalah yang dihadapi daripada segi rawatan dan pemulihan, komplikasi serta impak yang wujud akibat penyakit yang dihidapi.
Pengurusan Intervensi Krisis melibatkan bimbingan terhadap krisis dan panduan perundangan kepada mangsa pencabulan, penderaan, perbalahan keluarga, keganasan rumahtangga, dan trauma.
Pegawai kerja sosial perubatan akan mengenal pasti sokongan sosial untuk menghadapi cabaran penderaan menerusi khidmat Runding Bicara.
Ini memberi peluang kepada mangsa untuk membuat keputusan terbaik bagi diri mereka.
Bagi mangsa kes penderaan dan pengabaian di kalangan warga emas emas, Bantuan Praktik yang boleh diberikan oleh Jabatan ini adalah:
| Penempatan ke Institusi Kebajikan | Jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi bantuan. |
| Bantuan kewangan kecemasan semasa dalam rawatan. | Kerja lapangan seperti lawatan ke rumah |
Peranan lain PKSP ialah sebagai orang perantara antara pesakit, pihak hospital dan agensi-agensi bantuan lain yang boleh menolong pesakit serta keluarga dalam mengatasi masalah psikososial dan cabaran dari sudut fizikal, mental, emosi dan sosial.
PKSP akan bertindak sebagai pegawai penghubung bagi menghubungkan pesakit kepada agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan bertepatan dengan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
Agensi kerajaan yang sering dirujuk adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Biro Bantuan Guaman Malaysia.
Ini membolehkan pesakit mendapatkan khidmat guaman percuma bagi kes penderaan domestik berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.
Bagi agensi bukan kerajaan pula, rumah-rumah kebajikan dan pusat jagaan yang berdaftar dengan JKM juga sering dirujuk bagi menempatkan mangsa penderaan atau pengabaian yang telah dipinggirkan oleh ahli keluarga.
PKSP dalam pasukan multidisiplinari Geriatrik khususnya pula dilihat dapat membantu memberi rawatan yang komprehensif kepada pesakit.