Penderaan dan Pengabaian Warga Emas di kalangan penghidap demensia
Demensia dan kemerosotan kognitif boleh dikatakan faktor risiko yang paling jelas untuk penderaan warga emas.
Warga emas yang mengalami demensia amat terdedah kepada penderaan dan pengabaian (McCausland et al. 2016) berbanding mereka di dalam populasi umum.
Penemuan menunjukkan lebih banyak penderaan psikologi dan bahaya fizikal di kalangan individu yang mengalami demensia berbanding dengan jenis penganiayaan warga emas yang lain (Cooper et al., 2009; Yan, 2014).
Peningkatan eksploitasi kewangan adalah kebimbangan baru bagi warga emas dalam kalangan penghidap demensia (Weissberger et al., 2019).
90% pesakit mengalami gejala neuropsikiatri pada satu ketika sepanjang mereka menghidap demensia.
Ini termasuklah agitasi, agresif, kemurungan dan apati. (Ballard dan Oyebode 1995).
Seseorang yang mengalami gejala neuropsikiatri ini lebih sukar untuk dijaga dan dikaitkan dengan peningkatan risiko penderaan dan pengabaian.
Warga emas yang menghidap demensia juga sukar untuk mengelak, mencegah atau melaporkan penderaan kerana mengalami gangguan dalam ingatan, kebolehan berkomunikasi dan kemampuan membuat pertimbangan.
Kesan penderaan dan pengabaian warga emas menyebabkan kesihatan fizikal dan mental terjejas, kemasukan ke hospital, mengurangkan kelangsungan hidup, dan kerugian kewangan (Dong dan Simon 2013; Dong et al. 2011, 2013).
Lebih malang lagi pesakit demensia sangat terdedah kepada kesemua kesan buruk ini memandangkan mereka mempunyai taraf kesihatan fizikal dan mental yang lebih teruk, serta berisiko tinggi untuk kematian, kemasukan ke hospital mahupun institusi.
Malangnya, anak-anak, pasangan suami isteri, atau ahli keluarga yang lain mungkin membentuk perlakuan penderaan semasa mengendalikan warga emas.
Perbuatan penderaan tidak semestinya dengan niat, dan dalam kebanyakan kes, pelaku mungkin tidak menyedari tindakan mereka itu merupakan satu bentuk penderaan dan pengabaian.
Ramai mangsa yang enggan melaporkan penderaan yang dilakukan memandangkan mereka bergantung harap kepada pelaku.